Sunday, 15 December 2013

SAYIDINA HASSAN



Sayidina Hassan adalah cucu kepada Rasulullah SAW dari puteri bongsu baginda yang paling disayanginya iaitu Siti Fatimah Az Zahra dan menantunya Sayidina Ali, yang juga merupakan Sahabatnya yang sangat disayangi baginda. Sayidina Hassan lahir kira-kira sebulan sebelum Perang Uhud. Menurut ahli-ahli sejarah, tarikh lahirnya yang tepat ialah 15 haribulan Muharram. Namanya telah diberikan oleh baginda Rasulullah SAW sendiri. Nama ‘Hassan” itu tidak pernah digunakan di Tanah Arab di zaman jahiliyah. Rasulullah SAW sangat gembira sekali dengan kelahiran Sayidina Hassan.

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Sayidina Hassan adalah salah seorang penghuni Syurga dan seorang yang paling hampir wajahnya dengan baginda. Pernah baginda bersabda kepada Sayidina Hassan sendiri: “Engkau menyerupai aku baik tentang bentuk rupamu mahupun tentang akhlak.” Bahkan Sayidina Ali pernah berkata: ”Hassan menyerupai Rasulullah dari dada sampai ke kepala. Tetapi Hussin menyerupai Rasulullah di bahagian-bahagian lainnya, dari dada sampai ke bawah.”
Pada suatu hari, Sayidina Abu Bakar yang baru keluar dari masjid ternampak Sayidina Hassan yang masih kecil ketika itu. Sayidina Abu Bakar segera berkejar mendapatkannya lalu memeluknya. “Demi Allah, rupa engkau hampir sekali dengan Rasulullah dan lain sekali dari ayahmu, Ali.”

Mendengar kata-kata Sayidina Abu Bakar, Sayidina Hassan hanya tersenyum. Ayahnya, Sayidina Ali yang berada di samping Sayidina Abu Bakar, tertawa mendengar kata-katanya. Rasulullah sangat sayang sekali terhadap cucunya ini. Baginda sentiasa ingin bersama cucunya sekalipun ketika hendak solat. Bahkan kadang-kadang juga ketika menerima wahyu dari malaikat Jibrail a.s.

Di masa kanak-kanaknya, Rasulullah sendiri yang mendidik Sayidina Hassan dan adiknya Sayidina Hussin dengan budi pekerti yang mulia. Sayidina Hassan memang terkenal sebagai seorang kanak-kanak yang cerdik. Tatkala umurnya 4 tahun, beliau sudah dapat menghafal kalimat-kalimat suci yang didengar dari datuknya yang mulia. Ketika berumur 8 tahun, dia sudah menghafal Hadis-hadis dari Rasulullah SAW.

Apabila dewasa, Sayidina Hassan menjadi seorang yang sangat dikenali dan dicintai oleh seluruh umat Islam ketika itu. Beliau seorang yang cantik serta elok rupanya ditambah dengan peribadinya yang mulia. Sayidina Hassan adalah seorang yang berkulit putih kemerah-merahan. Biji matanya hitam dan besar. Mukanya pula beijambang, bertulang besar, pipinya halus, raut mukanya lembut serta berjanggut pula. Keadaan tubuhnya sedang dan cantik. Tidak tinggi dan tidak rendah. Sungguh Sayidina Hassan adalah seorang yang cantik dan kacak. Siapa yang memandangnya akan tertarik padanya. Sayidina Hassan adalah seorang yang sangat bertaqwa kepada Allah dan paling baik akhlaknya. Beliau seorang yang tenang, halus budi bahasa serta pandai bergaul dengan orang lain.

Kebanyakan kaum muslimin yang hidup di zamannya sangat sayang kepadanya. Beliau sangat merendah diri dan suka bergaul dengan orang-orang miskin. Kerapkali apabila melihat sekumpulan orang Islam sedang makan-makan, Sayidina Hassan akan turun dari untanya untuk makan bersama mereka. Ada ketikanya beliau menjemput pula orang- orang yang susah untuk datang ke rumahnya. Apabila mereka datang beramai-ramai, beliau akan menjamu mereka.

Sayidina Hassan suka mendapatkan ilmu-ilmu dari para Sahabat Rasulullah SAW yang ketika itu sudah lanjut umurnya. Beliau juga suka mengajar siapa sahaja yang suka mendengar ajaran- ajarannya.

Kerana taqwanya, menurut satu riwayat, ketika sedang mengambil wuduk, mukanya tiba-tiba menjadi sangat pucat kerana takutkan Allah. Demikian juga ketika beliau teringat soal mati. Ketika menceritakan tentang Hari Kebangkitan, beliau sering menangis teresak-esak.

Sayidina Hassan terkenal sebagai seorang dermawan. Waktu hidupnya, beliau digelar, “Karimu ahlil bait” yang ertinya keluarga Rasulullah SAW yang paling dermawan. Beliau tidak pernah menghampakan harapan orang lain.

Sebagai seorang cucu baginda Rasulullah SAW, beliau adalah ibarat permata di zaman hidupnya kerana memiliki budi pekerti yang mulia lagi terpuji. Sikapnya ramah, penyantun, rendah hati dan dermawan pula.

Pada suatu hari sedang Sayidina Hassan r.a duduk di muka pintu rumahnya, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu mencacinya. Dia turut juga mencaci ayah serta ibu Sayidina Hassan r.a. Anehnya Sayidina Hassan r.a hanya mendengar sahaja akan segala maki hamun orang itu tanpa sedikit pun berubah air mukanya, atau membuat serang balas terhadap orang yang biadab itu.

Kemudian ia berkata kepada Badwi itu: “Wahai Badwi, adakah engkau lapar dan dahaga? Atau adakah sesuatu yang merunsingkan hati engkau?”

Tanpa mempedulikan kata-kata Sayidina Hassan r.a, Badwi itu terus memaki-hamunnya. Oleh itu Sayidina Hassan pun menyuruh pelayan rumahnya supaya membawa kantung yang berisi wang perak lantas diberikannya kepada Badwi itu sambil berkata: “Wahai Badwi, maafkanlah saya kerana inilah sahaja yang saya miliki. Jika ada yang lebih, tidak akan saya sembunyikan darimu.”

Sikap dan layanan Sayidina Hassan r.a yang memeranjatkan itu akhirnya berjaya melembutkan hati Badwi tersebut. Tiba-tiba Badwi itu menangis teresak-esak lantas sujud di kaki Sayidina Hassan bin Ali r.a sambil berkata: “Wahai cucu baginda Rasul. Maafkanlah aku kerana berlaku kasar terhadapmu. Sebenarnya aku sengaja berbuat begini untuk menguji kebaikan budi pekertimu sebagai cucu Rasulullah SAW yang sangat aku kasihi. Sekarang yakinlah aku bahawa engkau hai cucu Rasul, sesungguhnya mempunyai pekerti yang mulia sekali.”

Demikianlah satu contoh keindahan budi yang tiada taranya. Sayidina Hassan r.a yang kena maki hamun itu bukan sahaja dapat bersabar terhadap segala cubaan itu bahkan membalasnya pula dengan sikapnya yang lembut serta pemurah pula.

Semasa pemerintahan Khalifah Usman bin Affan, Sayidina Hassan telah sempurna menjadi seorang yang dewasa. Ketika itu beliau termasuk dalam golongan ulama yang terkemuka. Ketika timbul kekacauan semasa pemerintahan Khalifah Usman, Sayidina Ali menyuruh kedua puteranya supaya menjaga keselamatan Sayidina Usman di rumahnya. Ketika itu rumahnya sedang dikepung oleh pemberontak. Maka Sayidina Hassan dan Hussin segera melaksanakan kehendak ayah mereka tetapi Khalifah Usman meminta mereka pulang. Apabila Khalifah Usman dibunuh, Sayidina Ali sangat marah terhadap kedua puteranya kerana tidak melindungi Khalifah Usman walhal khalifah sendiri menolak pertolongan mereka.

Apabila Sayidina Ali naik menjadi khalifah maka kedua-dua puteranya berazam untuk membela serta melindungi ayah mereka tercinta. Apabila ayah mereka mati dibunuh pada tanggal 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah maka Sayidina Hassan dan Hussin telah menuntut bela dan berjaya membunuh orang yang membunuh ayah mereka. Tidak lama kemudian, Sayidina Hassan pula dilantik oleh kaum muslimin menjadi khalifah menggantikan ayahnya.

Sebebenarnya Sayidina Hassan sendiri tidak suka menjadi khalifah. Ketika itu, ada di kalangan muslimin yang mahukan Sayidina Muawiyah bin Abu Sufyan untuk naik sebagai khalifah. Maka timbullah pertelagahan antara penyokong Sayidina Hassan dan penyokong Sayidina Muawiyah. Sayidina Hassan sukakan perdamaian. Keadaan yang berpecah belah itu sangat tidak disukai olehnya. Khalifah Hassan sempat memerintah wilayah Iraq serta wilayah-wilayah di sekelilingnya seperti Khurasan, Hijaz dan Yaman selama 7 bulan. Tetapi semasa pemerintahannya, dunia Islam telah penuh kekacauan. Demi menyatu-padukan umat Islam, Sayidina Hassan sanggup menyerahkan jawatan khalifah kepada Sayidina Muawiyah.

“Aku sama sekali tidak ingin memerintah umat Muhammad, jika dengan itu aku harus menumpahkan darah walau hanya secangkir.”

Demikianlah kata-kata Sayidina Hassan. Rasulullah SAW sendiri, sewaktu hidupnya telah mengetahui bahawa cucunya itu mempunyai akhlak yang terpuji, lemah-lembut dan memiliki hati yang halus. Sabda baginda: “Anakku ini adalah penghulu. Mudah-mudahan Allah akan mendamaikan dengan sebab Hassan, dua golongan kaum muslimin yang sedang bermusuh-musuhan.”

Sayidina Hassan meninggal dunia setelah diracun. Kematiannya disaksikan dengan perasaan sedih oleh adiknya, Sayidina Hussin yang sangat mengasihinya.

0 comments:

Post a Comment

About

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...