Monday, 16 December 2013

TUAN SYAIKH UTHMAN JALALUDDIN (1880-1952)

TUAN SYAIKH UTHMAN JALALUDDIN (1880-1952)


SINOPSIS

Tuan Syaikh Uthman Jalaluddin yang masyhur sebagai seorang alim di Penanti, Bukit Mertajam. Dilahirkan pada tahun 1880M di Kampung Panjang, Daerah Sering, Kota Bharu, Kelantan. Beliau mulai belajar kitab jawi yang pertama kepada Haji Jamal Perupok, kemudian belajar dengan mufti Haji Wan Muhammad di Kota Bharu dan Haji Abdul Malik di Sungai Pinang. Selepas beberapa tahun belajar di Kelantan, Syaikh Uthman melanjutkan pelajaran ke Mekah selama 4 tahun. Setelah pulang dari Mekah beliau meneruskan pengajiannya di pondok Tok Kenali dan beliau pernah menjadi pembantu Tok Kenali dengan mengajar kitab-kitab fiqh kepada para pelajar. Selepas itu beliau cuba membuka pondok di Pasir Kasar, Sering, Kampung Tapang dan di Lepah, Bukit Abal, Pasir Puteh tetapi semuanya gagal dan tidak dapat bertahan lama.

Berdasarkan kegagalannya dalam usaha tersebut beliau cuba berbincang dengan gurunya Tok Kenali yang memberi nasihat kepadanya supaya belajar lagi.Atas nasihat tersebut, Syaikh Uthman berangkat pula ke Mekah bersama isteri dan anaknya, tetapi isteri dan anak lelakinya yang dibawa bersama ke Mekah itu meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan haji.Selepas itu beliau berkahwin pula dengan Hajjah Sara di Mekah dan dapat hidup aman damai di sana di samping bersungguh-sungguh menjalankan tugas mengajar.

Dari Mekah Syaikh Uthman bersama-sama keluarganya pulang ke Malaysia. Kepulangannya pada kali ini membuatkan beliau terus ke Penanti, Bukit Mertajam dan tidak lagi ke tempat asalnya Kelantan. Di Penanti beliau membuka Pondok di atas tanah yang diwakafkan oleh sepasang suami isteri iaitu Haji Arshad dan Hajjah Tijah. Pondok tersebut diberi nama Manabil Ulum Wamatali'al-Nujum.Ertinya : (Tempat Terpancarnya Ilmu Pengetahuan dan Tempat Munculnya Bintang-bintang).Pada tahun 1952 tugas mentadbir dan mengajar di pondok itu diambil alih oleh Tuan Guru Haji Talib bin Haji Puteh setelah Tuan Syaikh Uthman meninggal dunia di Mekah.

0 comments:

Post a Comment

About

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...