Monday, 16 December 2013

KISAH ULAMA’ MENJAGA WAKTU DAN ILMU.

Kali ini kita akan sambung lagi kisah-kisah para ulama’ yang mementingkan waktu dan ilmu mereka lebih daripada segala. Sehinggakan mereka sanggup mengurangkan makan dan minum serta tidur semata-mata kerana ilmu. Ilmu adalah nyawa dan hidup mati mereka. Marilah kita perhatikan betapa pentingnya masa, benarlah pepatah arab mengatakan : Masa itu seperti pedang, jikalau kita tidak memotongnya ia akan potong kita, potong nyawa kita, potong hidup mati kita. Hidup kita akan sia-sia, begitu juga mati kita akan menjadi sia-sia kerana tidak ada perkara kebajikan yang akan kita bawa untuk bertemu Tuhan yang Rahman.
Kisah Ibn Nafis.
Beliau adalah seorang doktor perubatan yang terkenal, al-Imam Alauddin bin an-Nafis. Beliau juga adalah orang pertama yang menjumpai teori perjalanan darah pada kurun ketujuh Hijrah.
Diriwayatkan bahawa beliau seorang yang tidak suka membuang masa. Apabila ingin menulis beliau akan memalingkan mukanya mengadap dinding, kemudian mula menulis daripada ilmu pengetahuannya tanpa merujuk apa-apa kitab. Dikatakan beliau menulis laju seperti air yang mengalir. Apabila penselnya tumpul beliau akan mencampaknya ke suatu tempat khas kemudian mengambil pensel baru, oleh yang demikian beliau akan pastikan pensel-pensel yang telah diasah tersedia di atas mejanya sebelum memulakan penulisan kerana ditakuti masanya akan terbuang dengan mengasah pensel-pensel berkenaan.
Satu ketika, beliau masuk tandas untuk mandi, kemudian keluar kembali seraya meminta pen, dakwat dan kertas, justeru menulis satu karangan mengenai denyutan nadi. Setelah itu beliau masuk semula ke dalam tandas untuk menghabiskan mandiannya.
Ibn Asaakiir.
Diriwayatkan daripada anaknya al-Qasim : Ayahku seorang yang terlalu menjaga solat jamaah dan bacaan al-Quran. Beliau akan khatam al-Quran tersebut pada tiap-tiap hari jumaat dan setiap hari di bulan Ramadhan. Beliau juga sentiasa beriktikaf dalam masjid dan membanyakkan perkara-perkara sunnat serta zikir.
Salah seorang muridnya (Abu al-Mawahib) juga berkata : Aku tidak pernah melihat seseorang yang boleh menandingi Ibn Asaakiir di dalam banyak perkara, seperti mengikuti cara ibadah yang sama sepanjang empat puluh tahun, sentiasa berada di saf yang pertama setiap waktu sembahyang kecuali jika ada keuzuran, sentiasa beriktikaf di masjid pada bulan Ramadhan dan sepuluh Zulhijjah, tidak meminta untuk menjadi seorang pemimpin ataupun khatib (pembaca khutbah, kerana martabat pembaca khutbah pada masa itu terlalu tinggi), beliau juga selalu menasihati manusia ke arah kebaikan dan melarang mereka daripada berbuat kejahatan, tanpa gentar kepada sebarang ugutan ataupun celaan orang-orang yang mencela.
Inilah contoh-contoh yang saya cedok daripada kitab: Nilai Masa Di Sisi Ulama’ karangan Ustaz as-Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah. Suka saya untuk menasihati para pembaca agar memiliki dan membaca buku tersebut yang dalam bahasa arabnya (Qiimatuz Zamaan Indal Ulama’). Kitab ini antara lainnya menceritakan kesabaran para ulama’ silam mencari ilmu walaupun terpaksa berpisah daripada isteri kesayangan, anak yang menjadi cahaya kehidupan, bahkan mereka sanggup mengurangkan rutin harian mereka seperti makan, minum serta tidur.
Oleh sebab itu, tidak pelik jika kita perhatikan Islam pernah gemilang di suatu zaman dahulu, malah kita masih berbangga dengan kegemilangan tersebut hingga ke hari ini. Apakah cukup hanya dengan kita berbangga? Adakah Islam akan kembali gemilang dan memerintah dunia hanya kerana kita bangga dengan apa yang umat Islam telah capai dahulu? Justeru itu, marilah kita mendalami kisah hidup para ulama’ yang hidup pada zaman tersebut, pada tangan merekalah datangnya kegemilangan. Apakah yang mereka lakukan sehingga mereka menjadi begitu hebat? Inilah dia pegangan mereka, mereka sanggup buat segala-galanya kerana pentingkan ilmu, hanya demi agama Allah yang suci murni.
Saya juga kemukakan contoh-contoh ini dengan seribu harapan agar pembaca sekalian mendapat sedikit motivasi untuk menjaga dan memprogramkan hidup mereka seharian. Semoga dengan program tersebut mereka lebih berasa lazat berdampingan dengan ilmu pengetahuan daripada keasyikan dunia fana.
Selepas ini insya-Allah, saya akan kemukakan pula satu program yang ringkas serta lengkap bagaimana caranya kita hendak menprogramkan masa kita dengan sebaik mungkin di zaman yang serba canggih lagi mencabar ini. Semoga pandangan, tunjuk ajar serta nasihat yang bakal saya kemukakan nanti akan memenuhi citarasa kita semua.

0 comments:

Post a Comment

About

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...