Saturday, 14 December 2013

FALSAFAH DUA KALIMAH SYAHADAH




Assalamualaikum wbh,
Pintu masuk Islam adalah kalimah syahadah. Ini merupakan fakta yang diketahui umum. Apabila seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah, maka sucilah dia dari dosa-dosanya yang lepas, diharamkan dirinya untuk dibunuh oleh Muslim yang lain, wajib ke atasnya solat lima waktu, berpuasa, zakat dan haji. Wajib juga ke atasnya menurut segala yang diarahkan Allah swt, dan juga meninggalkan segala yang dilarang Allah swt.
Dua kalimah yang pendek dan ringkas ini, nyata-nyata mempunyai pengertian dan falsafah yang sangat mendalam, yang mana mampu menambahkan keimanan, keyakinan dan iktiqad seorang Muslim. Di dalam tulisan kali ini, penulis ingin mengajak kita bersama menghayati falsafah dan makna dua kalimah syahadah La Ilaha Illallah, Muhammadur Rasulullah.
Sebagaimana kaedah yang selalu penulis gunakan di tulisan-tulisan yang lepas, kali ini juga kita akan menggunakan kaedah yang sama, iaitu kita akan melihat satu per satu perkataan-perkataan di dalam dua kalimah syahadah serta hikmah dan pengajaran di sebaliknya, insyaAllah.



Kalimah syahadah La Ilaha Ilallah, terbahagi kepada dua bahagian:-
1) La ilaaha (An-Nafyu, iaitu penafian)
Selalu diertikan dengan ‘tiada Tuhan’. Namun pengertian ini tidak begitu tepat, kerana perkataan ‘Tuhan’ di dalam bahasa Arab ialah ‘Ar-Rob’, sebagaimana di dalam surah Al-Fatihah, “Alhamdulillahi rabbil ‘alamin”, ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam’. Adapun perkataan ‘ilah’, sebagaimana di dalam syahadah bermaksud ‘Tuhan yang selayaknya disembah’. Oleh itu, la ilaaha bermaksud ‘tiada Tuhan yang selayaknnya disembah’.
Adapun bahagian pertama kita kenali sebagai An-Nafyu, iaitu penafian, kerana di dalamnya kita menafikan akan wujud sebarang Tuhan yang layak disembah, dan ditujukan segala amal ibadah.
2) Illa Allah (Al-Itsbaat, iaitu penetapan)
Diertikan dengan maksud ‘melainkan Allah’. Terdapat dua pandangan dari nama datangnya kalimah nama ‘Allah’ itu sendiri, iaitu:-
i) pendapat pertama, mengatakan bahawa perkataan Allah itu berasal dari perkataan ‘Ilah’ yang penulis tuliskan di atas. Dari kata akar ‘Ilah’, datang perkataan Allah. Pendapat ini bukan pendapat yang tepat.
ii) Pendapat kedua, mengatakan bahawa perkataan Allah itu singular, dan plural bagi perkataan Allah ialah ‘Ilah’. Ini juga merupakan pendapat yang kurang tepat.
iii) Adapun pandangan yang ketiga, merupakan pendapat Al-Imam Syafi’e rahimahullah, dan juga majority para ‘ulama, iaitu perkataan Allah itu tiada kata asalnya, dan tiada sebarang perkataan lain yang terbit dari perkataan Allah. Bahkan Allah itu merupakan namanya yang agung, sebagaimana Dia memperkenalkan diriNya kepada Adam, dan juga sebagaimana Dia menggelarkan diriNya di dalam kitab-kitab yang diturunkanNya. Ini merupakan pandangan yang paling tepat dan paling cantik, bersesuaian dengan Allah yang Maha Esa dan mutlak kuasaNya ke atas segala sesuatu, selayaknya dengan kemuliaanNya.
Rukun atau bahagian kedua ini, dipanggil ‘Al-Itsbaat’, iaitu penetapan, kerana di dalamnya kita menetapkan kepercayaan ‘selain Allah’. Bahagian kedua ini, datang secara bersusulan dengan bahagian yang pertama, ‘La Ilaaha’ tadi.
Mengapakah kalimah syahadah ini datang dengan dua bahagian, iaitu penafian, dan kemudian penetapan?
Ini adalah kerana pernyataan yang datang secara gandingan penafian dan penetapan, merupakan pernyataan yang paling kukuh dan tepat. Sebagai contoh, kita katakan,
‘Azri ada di dalam kelas’.
Pernyataan ini menyatakan bahawa Azri ada di dalam kelas, akan tetapi dalam masa yang sama ia tidak menafikan kehadiran orang lain, atau dengan kata lain, mungkin bersama-sama Azri itu, ada orang yang lain di dalam kelas tersebut. Begitu juga kita katakan,
‘Tiada sesiapa pun di dalam kelas’.
Kenyataan ini menyatakan bahawa tiada sesiapapun di dalam kelas, iaitu menafikan secara 100% kehadiran seorang manusia pun di dalam kelas.
Sekarang, cuba kita gandingkan,
‘Tiada seorang manusiapun di dalam kelas tersebut, melainkan Azri’.
Secara tepat dan mutlak, kita fahami dari ayat ini bahawa Azri ada di dalam kelas, wujud, dan tiada seorangpun manusia yang lain selain dari Azri di dalam kelas. Struktur yang kukuh inilah yang digunakan Allah swt di dalam kalimah syahadah, iaitu,
‘Tiada Tuhan yang selayaknya ditujukan segala bentuk ibadah, melainkan Allah’.
Kerana itulah, kita katakan bahawa pernyataan ini adalah struktur yang paling kukuh di dalam menetapkan tiada Tuhan yang selayaknya disembah, melainkan Allah.
Penulis merasakan juga bahawa penting untuk kita ketahui tauhid apakah yang terkandung di dalam syahadah ini. Sebelum itu, secara ringkas akan penulis bawakan tiga pembahagian tauhid, iaitu:-
i) tauhid rububiyah, iaitu tauhid ketuhanan. Sebagaimana namanya, tauhid ini merupakan keimanan manusia bahawa Allah lah Tuhan yang menciptakan bumi dan langit serta segala apa yang ada di dalamnya, seluruh perkara ghaib, dan juga sekalian alam-alam yang kita ketahui dan tidak ketahui, seperti alam rahim, alam roh, alam akhirat, alam barzakh, alam manusia, alam jin dan lain-lain lagi. Tauhid ini merupakan tauhid yang am, kerana hatta orang-orang kafir juga terkandung di dalam hati mereka tauhid ini. Firman Allah swt, “Dan jikalau engkau bertanya kepada mereka (hai Muhammad), ‘siapakah yang mencipta bumi dan langit?’ Secara pasti, mereka akan menjawab ‘Allah’”.
Begitu juga dengan hal Iblis, dia juga beriman dengan tauhid ini. Firman Allah swt tatkala Iblis enggan sujud kepada Adam as, “Engkau (Ya Allah) MENCIPTAKAN DIA (ADAM) DARI TANAH, DAN KAU CIPTAKAN AKU DARI API”. Perhatikan dengan teliti bahawa secara langsung Iblis mengiktiraf bahawa Allah swt lah yang telah menciptakan dirinya dan juga Adam as.
Oleh kerana itu, bukan tauhid ini yang kita katakana terkandung di dalam syahadah kita ‘La Ilaaha Illa Allah’.
ii) tauhid asma’ wa as-sifaat, iaitu tauhid nama-nama dan sifat-sifat Allah. Tauhid ini bermakna kita beriman dan mengakui bahawa Allah mempunyai sifat-sifat dan nama-nama yang baik, 99 yang kita ketahui, dan juga nama-nama dan sifat-sifat Allah yang ghaib dan tidak kita ketahui. Kita hanya mengetahui 99 daripadanya, kerana itu sahaja jumlah yang dibertahukan kepada kita oleh Allah di dalam Al-Quran, dan Rasulullah saw di dalam hadis baginda. Adapun yang selebihnya tidak kita ketahui.
Iblis juga beriman dengan tauhid ini. Firman Allah swt “Dia (Iblis) berkata: Maka dengan KEKUATANMU, (aku bersumpah) akan aku sesatkan mereka (Adam as dan keturunannya) kesemuanya”.
Perhatikan bahawa Iblis bersumpah menggunakan nama dan sifat Allah, iaitu kekuatan (‘Izzah), dan ini merupakan sebahagian dari nama dan sifat Allah. Maka kerana itu, kita katakana bahawa bukan tauhid ini yang kita selitkan di dalam syahadah kita.
iii) tauhid uluhiyyah, iaitu tauhid yang bersifat ‘Ilah. Perhatikan di dalam perbincangan di atas, ‘Ilah itu bermaksud ‘tiada Tuhan yang selayaknya disembah’. Maka dengan itu, pengertian tauhid ini ialah tauhid mengesakan Allah swt, dengan mengakui dengan hati kita bahawa Dialah satu-satunya Tuhan yang selayaknya disembah, dan ditujukan segala bentuk amalan kita, samada keimanan kita denganNya, solat, puasa, haji dan zakat kita, kesemuanya adalah demi Allah swt, tiada selain dariNya.
Tauhid inilah yang membezakan kita dengan orang kafir, kerana hanya orang Islam yang mukmin sahaja yang menujukan segala ibadah mereka hanya kepada Allah Yang Satu.
Maka dengan itu, tauhid jenis inilah, yang kita sertakan di dalam ucapan kita, “Tiada Tuhan yang selayaknya ditujukan segala ibadah kita, melainkan kepada Allah”.
Adapun syahadah kedua, ‘Muhammadur Rasulullah’, ia tidak mempunyai perbahasan yang kukuh dan mendalam sepertimana halnya syahadah pertama.
Ini adalah kerana Yang Esa itu hanyalah Allah swt, adapun para rasul datang dengan silih berganti. Ucapan Muhammad Rasulullah merupakan ucapan yang khas bagi kita umat Muhammad. Ini kerana ucapan beriman dengan rasul ini, silih berganti dengan nabi yang diutuskan kepada umat tersebut.
Sebagai contoh, umat nabi Nuh as akan mengucapkan ‘was asyhadu anna Nuh Rasulullah”, ‘dan aku bersaksi bahawa Nuh itu rasulullah’. Begitu juga dengan umat Musa as, ‘was asyhadu anna Musa Rasulullah’, umat nabi Isa as ‘was asyhadu anna Isa Rasulullah’, dan begitulah dengan kita, ‘was asyhadu anna Muhammada Rasulullah’.
Maka andaikata kita cuba menghuraikan dua kalimah syahadah secara terperinci, maka ianya adalah:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang selayaknya aku tujukan segala bentuk amal ibadahku, dari hatiku, lidahku, amalanku, melainkan kepada Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah, yang telah Allah lantik untuk menyampaikan risalah dan syariatNya, dan dengan pengakuan ini aku cerminkan di dalam setiap tingkah laku seharianku sebagai orang yang berserah diri kepada Allah dan mengikuti ajaran Rasulullah saw”.
Persoalan terakhir, apakah kaitannya di antara dua kalimah syahadah dan amal ibadah kita?
Penulis teringat satu falsafah dan pandangan yang dikemukakan oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah. Beliau menyebut bahawa syarat diterima ibadah kita oleh Allah swt, mempunyai dua syarat yang boleh kita fahami dari dua kalimah syahadah yang mana kita berpegang dengannya, iaitu:-
i) dari syahadah pertama, la ilaaha illa Allah, terkandung di dalamnya ikhlas. Dan ikhlas yang dimaksudkan di dalam pengertian syariat ialah tauhid, bukan ‘membuat sesuatu tanpa mengharapkan balasan’. Itu cuma merupakan istilah awam yang kita guna pakai seharian.
Ertikata ikhlas yang sebenar, sebagaiman firman Allah swt, “Dan tidaklah mereka (manusia) itu diarahkan (dengan sesuatu), melainkan agar mereka menyembah Allah dengan hati yang ikhlas kepadanya, agama yang murni”.
Al-Quran sendiri telah menafsirkan ertikata ikhlas ini, di dalam surah yang sangat masyhur, iaitu “Qul huwaallahu ahad, Allahus samad, Lam yalid walam yuulad, walam yakuullahu kufuan ahad”. ((Katakanlah (hai Muhammad) bahawa Allah itu Esa, Allah tempat meminta, Dia tidak melahirkan (anak) dan tidak pula Dia dilahirkan (oleh ibu atau bapa), dan tidak ada baginya saingan walau seorangpun)).
Perhatikan bahawa kandungan surah ini padat dengan ajaran tauhid, dan nama bagi surah ini ialah AL-IKHLAS. Maka jelas, bahawa erti al-ikhlas yang paling tepat ialah AT-TAUHID.
ii) syahadah yang kedua mengandungii maksud ‘ittiba’, iaitu mengikuti cara dan garis panduan yang telah digariskan oleh pesuruh Allah, Muhammad Rasulullah saw. Sesungguhnya Allah lah yang menurunkan kepada Rasulullah, apakah ibadah yang Dia mahukan dari hambaNya, bagaimanakah ibadah tersebut, dan bagaimanakah cara perlaksaan ibadah tersebut. Seterusnya Rasulullah saw menunjukkan kepada kita bagaimana cara perlaksanaannya, maka WAJIBLAH bagi kita mengikuti secara tepat cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Ini kerana andai kita cuba melakukan sesuatu selain dari yang diajarkan Rasulullah, bererti kita telah lari dari konteks yang Allah mahukan dari kita, atau dengan kata lain, ibadah kita tidak diterima.
Benarlah sabda Nabi saw di dalam menyokong hal ini, di dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, “Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan dari kami (iaitu bukan dari contoh yang ditunjukkan Nabi saw dan para sahabat) maka amalan itu tertolak (tidak diterima Allah)”. Juga sabda baginda saw “Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam hal kami ini (iaitu Islam) maka ianya tertolak (tidak diterima Allah)”.
Kerana itu, Ibnu Qayyiim menyimpulkan bahawa dua syarat diterima ibadah ialah, 1)isi hati yang tauhid kepada Allah swt, dan 2) mengikut cara ibadah yang ditunjukkan Muhammad Rasulullah saw.
Sambung Imam Ibnu Qayyim juga, syirik itu adalah musuh ketat dan lawan kepada tauhid, oleh itu sesiapa yang berlaku syirik kepada Allah, bererti dia telah mengingkari pengakuaanya syahadahnya yang pertama. Kerana itu kita dapati bahawa amalan syirik merupakan amalan yang mengeluarkan seseorang itu dari Islam.
Begitulah juga, lawan dan musuh ketat bagi mengikuti cara Rasul saw, ialah bidaah (iaitu mengada-adakan bentuk ibadah yang baru, yang tidak pernah ditunjukkan rasul saw). Maka sebagaiman syirik adalah pembatal syahadah pertama, amalan bidaah merupakan pembatal syahadah kedua.
Kesimpulannya, syirik dan bidaah, merupakan musuh no 1 bagi setiap Muslim yang beriman dengan Allah, RasulNya dan Hari Pembalasan.
Demikianlah sahaja coretan penulis buat masa kini. Semoga dapat dimanfaatkan bersama.
Sesungguhnya di dalam diri penulis, amat-amat mengharapkan agar kita semua bersama-sama mencari semula sunnah baginda saw. Hanya melalui sunnah baginda saw, kita semua mampu beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat.
Ya Allah…sesungguhnya setiap hati yang bernyawa di muka bumi ini, samada dari kalangan jin atau manusia, adalah milikMu sepenuhnya. Engkau berikan hidayah kepada sesiapa yang Kau mahu, dan Kau sesatkan sesiapa sahaja yang Kamu mahu. Maka hindarkanlah kami dari najis syirik dan bidaah, sesungguhnya kami berlindung denganMu darinya.
Ya Allah…mencintai sunnah nabiMu Muhammad saw adalah sebahagian dari keimanan, bahkan itulah kunci bagi kami beroleh rahmat dan kasih sayangMu, di dunia dan di akhirat.
Ya Allah…kecintaanku padaMu melampaui kecintaanku kepada segala sesuatu, dan sungguh cintaku kepada kekasihMu Muhammad saw melebihi kecintaanku kepada sesiapapun di dunia ini. Sungguh aku berharap agar dapat kupupuk diri ini mengikuti jejak langkahnya…ya Allah bantulah aku dalam merindui dan menyintai dirinya.
Ya Allah…bantulah aku di dalam mengerjar cintaMu…Engkau berkata bahawa mereka yang banyak beramal dengan sunnah akan Engkau cintai…Ya Allah di saat aku membandingkan amalanku dengan kemurnian para rasul dan sahabat-sahabat mereka, terasa diriku jauh dariMu…maafkanlah kesalahan dan kekuranganku, dan walau sejauh manapun diriku dariMu, Engkau tetap tempat aku bergantung harapan, tempat aku meminta, mengadu dan memohon belas simpati.
Ya Allah…perkenankanlah doaku…andaikata Kau enggan mendengar permintaanku, maka kepada siapa lagi harus aku memohon…?
Allahumma Amin.
Ya Allah…sudahkah aku sampaikan pesananMu…?

Ustaz Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin merupakan salah seorang ahli pasukan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Madrasah Al-Wahidah yang bertanggungjawab menggubal sukatan pelajaran bagi Program Pendidikan I-LIFT yang menawarkan pakej pendidikan berteraskan Islamisasi dan Integrasi Ilmu di peringkat taska, tadika & KAFA. Beliau juga merupakan fellow UniMAP, sedang menyambung pengajian di peringkat Ph.D Al-Quran & Sunnah (USIM). Penulis boleh dihubungi melalui www.al-wahidah.com & www.abu-intisaar.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

About

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...