Sunday, 15 December 2013

ABU AYUB AL ANSARI

Abu Ayub Al Ansari adalah seorang Sahabat dari kaum Ansar. Sewaktu Rasulullah berhijrah ke Madinah dahulu, di rumah Abu Ayublah Nabi tinggal. Abu Ayub turut serta dalam operasi tentera Islam untuk membebaskan Konstantinople. Ketika itu umur beliau sudah mencecah 81 tahun. Meskipun tua, tapi Abu Ayub tetap berkeras untuk berangkat kerana dia berharap untuk merebut janji Rasulullah SAW sebagaimana tersebut dalam Hadis baginda: “Konstantinople akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”

Tiba di Konstantinople tentera Islam bergabung, pasukan dari Mesir diketuai oleh Uqbah bin Amir dan dari Syam pula diketuai oleh Fudalah bin Ubaid r.a. Barisan tentera Rom amat besar sekali dengan kelengkapan perang yang jauh lebih hebat. Tentera Islam pun berbaris untuk menghadapi mereka. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan tentera Islam telah merempuh masuk ke dalam barisan tentera Rom. Melihat tindakannya itu, tentera-tentera Islam pun berteriak kepadanya: “Maha Suci Allah! Dia mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan.”

Mendengar kata-kata mereka itu, Abu Ayub Al Ansari segera tampil lalu berkata, “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang seumpama itu. Kami lebih mengetahui mengenai ayat Sesungguhnya ia telah diturunkan kepada kami golongan Ansar. Tatkala Allah menguatkan agama-Nya dan bertambah ramailah pengikutnya, kami telah berkata sesama kami secara rahsia dari pengetahuan Rasulullah SAW: “Sesungguhnya harta-harta kita telah terbiar, adalah elok kita tinggal di sana dan memperbaiki apa yang telah kehilangan dan kerugian terhadap harta-harta tersebut.”

Oleh yang demikian, Allah SWT mewahyukan ayat Al Quran untuk membidas kerungsingan kami itu.

Allah SWT berfirman: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Al Baqarah: 195)

Ada pun kebinasaan itu adalah tinggal bersama kaum keluarga di mana kami telah berkeinginan untuk melakukannya, demi untuk memperbaiki harta benda kami. Maka kami telah diperintahkan untuk keluar berghuzwah (berperang). Demikianlah pendirian Abu Ayub, sebab itulah dia gigih berjuang walaupun umurnya sudah lanjut.

Dalam peperangan membebaskan Konstantinopel itu, berjatuhanlah para syuhada bagai kembang-kembang seri yang gugur di Taman Syurgawi. Pada hari itu bermati-matian Abu Ayub bertempur dari terbit matahari sampai tenggelam. Akhirnya Abu Ayub jatuh sakit. Terbaring lesu tanpa boleh bergerak-gerak lagi. Tentera-tentera Islam datang melawatnya.

Setiap yang datang, akan mendoakan: “Ya Allah, afiatkan ia dan sembuhkanlah ia.”

Mendengar doa itu, Abu Ayub menoleh kepada mereka dan berkata, “Jangan doakan begitu. Tapi ucapkanlah, ya Allah, kalau ajalnya sudah dekat, ampunilah dan berilah ia rahmat. Akan tetapi sekiranya ajalnya masih belum tiba, afiatkan ia dan sembuhkanlah segera dan berilah ia ganjaran.”

Ketika sakitnya semakin memberat, Abu Ayub pun berwasiat agar jasadnya disemadikan di benteng Kota Konstantinopel. Semasa kematiannya peperangan masih bergelora. Jenazah Sahabat yang mulia itu dibawa ke benteng Konstantinopel untuk disemadikan. Ternyata beliau bukanlah orang yang dijanjikan Tuhan untuk menawan kota Konstantinople itu.

Namun begitu, pahala untuk beliau tetap diganjari Tuhan kerana cuba untuk membuktikan Hadis Nabi SAW. Itulah yang menjadi pemangkin untuk Abu Ayub berjihad berhabis-habisan di kota itu. Setelah 600 tahun berlalu, Muhammad Al Fateh berjaya membebaskan kota itu pada tahun 1463. Beliaulah yang menepati Hadis Nabi SAW tersebut. Abu Ayub Al Ansari adalah salah seorang yang cuba membuktikan kebenaran Hadis Nabi itu. Ini diikuti pula dengan Muhammad Al Fateh yang mana beliaulah pemimpin yang dijanjikan Tuhan. Apakah kita juga menjadikan Hadis Nabi SAW sebagai pendorong untuk membuktikan kebenaran Hadis untuk umat akhir zaman. Rasulullah SAW ada bersabda bahawa di akhir zaman Islam akan bangkit dari sebelah Timur? Sejauhmanakah kesungguhan kita untuk menjadi orang-orang yang menyemarakkan Islam di sebelah Timur ini?

0 comments:

Post a Comment

About

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...