|
MENURUT definisi Kamus Dewan tentang perkataan berdakwah, ia bermaksud menjalankan kegiatan menyebarkan sesuatu kepercayaan atau menyebarkan ajaran sesuatu agama.
Seperti yang diketahui umum, aktiviti pendakwahan dalam Islam, telah dilakukan sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi.
Kesinambungan aktiviti tersebut, dilakukan sehingga zaman moden ini. Matlamat utama mubaligh berdakwah adalah untuk menyebarkan ajaran Islam dengan cara memberi tazkirah terhadap masyarakat.
Di zaman serba canggih ini, penggunaan media massa merupakan antara medium yang paling penting dalam kehidupan seharian.
Tidak kiralah sama ada televisyen, radio, media cetak mahupun media yang lain merupakan antara pendekatan yang mudah untuk mendekati masyarakat melalui berdakwah.
Justeru, sejak berabad yang lalu, stesen televisyen khususnya, menggunakan medium tersebut dengan sebaik-baiknya untuk mewujudkan beberapa program dakwah seperti pembelajaran, tazkirah, soal jawab serta kini pencarian pendakwah di zaman serba moden ini.
Sisi berbeza Mimbar Pencetus Ummah
Sejajar dengan tagline, Macam-macam Ada, saluran Astro Oasis telah mengambil inisiatif bagi mewujudkan beberapa program dakwah di bawah saluran mereka.
Antara program yang diwujudkan mereka termasuklah Imam Muda, Ustazah Pilihan dan yang terbaharu, Mimbar Pencetus Ummah.
Apa yang menariknya tentang program berdakwah ini, selain para peserta yang terdiri dalam kalangan penceramah atau pendakwah Islam, pengisian program juga berjaya menarik golongan belia khususnya untuk menonton program tersebut.
Tidak dapat dinafikan, pertumbuhan program berunsurkan pendakwahan pada masa kini, semakin bertambah bilangannya.
|
Namun, menurut pengurus saluran Astro Oasis, Namanzee Harris berkata, Mimbar Pencetus Ummah merupakan sebuah program yang memberi ruang kepada pencetus ummah untuk menyampaikan dakwah secara kreatif.
Katanya, antara keunikan Mimbar Pencetus Ummah adalah dari segi pengisian program ini sendiri.
"Kami memang ingin tampilkan sesuatu yang berbeza kerana kami cuba menarik golongan muda yang mana kami menekankan aspek penataan cahaya, audio, visual dan juga mewujudkan persembahan dengan memanggil artis-artis bagi memeriahkan program.
"Antara perbezaan lain yang dibuat ialah kami menggunakan pendekatan laman sosial seperti Facebook untuk masyarakat memberikan idea serta pendapat mereka.
"Jadi, rasanya ini dapat menarik minat golongan belia iaitu remaja khusunya untuk terus menyokong program ini," jelas Namanzee tentang sisi lain program tersebut berbanding program sedia ada.
Pengisian serta konsep MPU
Tema merupakan antara elemen yang dimasukkan dalam program ini. Setiap minggu pihak produksi akan menyediakan tema untuk para pencetus ummah. Bagaimanapun, sejurus mendapat tema, pengisian harus difikirkan oleh peserta untuk disampaikan secara kreatif.
"Mereka akan berbincang dengan ketiga-tiga tenaga pengajar untuk mencari pendekatan yang sesuai. Seperti hadis dan ayat suci al-Quran yang ingin diselitkan, pihak produksi juga telah menyediakan tenaga pengajar yang bertauliah.
"Mimbar Pencetus Ummah merupakan program berunsur pendakwah bebas. Jika saya mampu simpulkan, ia memang berbeza dengan program yang juga kami hasilkan iaitu Imam Muda," ungkap Namanzee tentang perjalanan program tersebut.
Ujarnya lagi, Mimbar Pencetus Ummah merupakan pencarian pendakwah bebas. Justeru, apa yang dicari ialah pelapis pendakwah bebas.
Apa yang paling utama, sudah tentu persembahan para peserta untuk menarik minat penonton terhadap tazkirah yang disampaikan.
Oleh kerana itu, Mimbar Pencetus Ummah diwujudkan dalam dua peringkat. Peringkat pertama, kreativiti dalam penyampaian tazkirah manakala peringkat kedua pula ialah tentang kepakaran dan kecekapan dalam sesi soal jawab.
"Sesi soal jawab ini boleh datang sama ada dalam kalangan penonton mahupun daripada juri dan tenaga pengajar. Penglibatan artis pula kita kategorikan mereka dalam kalangan penonton.
"Cuma kami ingin jadikan program ini sedikit menarik dengan memanggil para artis untuk bertanyakan soalan. Ini kerana kami juga lihat artis memainkan peranan yang penting untuk kami menjadikan program ini lebih menarik dan diterima oleh golongan muda khususnya," jelasnya.
Kejutan minggu keenam
Jika pemarkahan para peserta sebelum ini diberikan oleh juri tetap profesional, namun, Mimbar Pencetus Ummah telah membuat kejutan kepada peserta dan penonton program itu.
Walaupun kebiasaannya peserta tiga undian terendah dipilih oleh juri profesional, namun kali ini, undian telah dibuka kepada penonton untuk memilih siapakan antara enam peserta itu yang layak ke peringkat seterusnya.
"Kami ingin mencari empat orang peserta bagi ke peringkat akhir. Jika sebelum ini kami beri hak kepada orang ramai untuk mengundi hanya untuk tiga peserta undian terendah sahaja, namun kali ini, kami buka undi kepada kesemua peserta.
"Merujuk kepada sokongan yang diberikan oleh orang ramai yang begitu memberangsangkan, kami rasa, amat sesuai jika diberikan kuasa undi sebanyak 30 peratus yang membolehkan keputusan juga datang dari pihak orang ramai," ujarnya.
Ini kerana secara kesimpulannya, tazkirah yang disampaikan adalah untuk penghayatan orang ramai. Justeru, pihak Astro Oasis merasakan, penonton perlu diberi hak sedemikian.
Sediakan platform berdakwah
Kebiasaannya pemenang sesebuah program realiti TV bakal membawa pulang sama ada hadiah berupa wang tunai, barangan, trofi mahupun sijil penyertaan atau penghargaan.
Mimbar Pencetus Ummah pula menawarkan hadiah wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM100,000.
Bagi juara, selain hadiah kemenangan wang tunai sebanyak RM50,000, turut disediakan sebuah kereta sebagai hadiah tambahan.
Namun, kebiasaannya apa yang dilihat, walaupun menjadi juara sesebuah program realiti TV, juara masih terkontang-kanting mencari platform untuk mempersembahkan bakat.
Justeru, setelah keluar dari program tersebut, maka terkuburlah nama atau bakat kerana ketiadaan platform yang akan mengekalkan nama.
Ketika ditebak persoalan seumpama itu, jelas Namanzee, pihak Astro Oasis memang telah sedia maklum tentang permasalahan tersebut. Oleh itu, pihak produksi telah membuat perancangan terhadap perkara ini.
"Sememangnya ketika mula-mula pihak produksi mencetuskan program ini, memang kami inginkan ia berpanjangan jika mampu. Peserta yang dipilih ini merupakan orang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi.
"Oleh itu, bagi juara sudah semestinya kami akan wujudkan sebuah program untuk mereka, manakala yang selebihnya, mungkin kami akan selitkan mereka dalam program-program yang ada dalam saluran kami," ungkap Namanzee yang akan serapkan peserta lain dalam program seperti soal jawab, tazkirah serta indahnya Iman.
Impak
Apa yang mampu disimpulkan, ternyata Mimbar Pencetus Ummah bakal meledakkan fenomena tersendiri dalam penghasilan program realiti TV Islamik. Konsepnya yang berbeza serta pengisian kreatif yang disampaikan oleh para pencetus ummah, ternyata berjaya menarik minat golongan belia khususnya.
Penyampaian dakwah yang bersahaja, tema yang menarik, artis jemputan yang terlibat dalam sesi soal jawab serta persembahan dari kumpulan artis membuatkan episod seterusnya sentiasa dinantikan oleh penonton.
Apa yang menjadi harapan, semoga program dakwah alaf baharu begini diteruskan bagi menarik minat masyarakat kini yang inginkan kepelbagaian terhadap apa jua perkara.
Mimbar Pencetus Ummah disiarkan pada setiap hari Khamis pukul 9 malam di saluran Astro Oasis (Saluran 106) serta tayangan serentak di Maya HD (Saluran 135).
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0102&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2pGCnVWNR
Hakcipta terpelihara
0 comments:
Post a Comment