Sebuah universiti di Kazakhstan akhirnya memutuskan untuk menarik balik larangan memakai tudung, setelah para mahasiswi universiti itu mengancam akan menyaman pihak universiti secara undang-undang kerana melaksanakan larangan bertudung.
Belakangan ini, masalah tudung kerap diperkatakan di Kazakhstan terutama di sekolah-sekolah dan universiti.
Pada tarikh 8 Disember lalu, para mahasiswi dari Universiti Saqtaghan Baishev, yang terletak di kawasan barat laut Kazakhstan, memberikan maklumat pada Radio Free Europe / Radio Liberty (RFE / RL) bahawa para mahasiswi bertudung tidak dibenarkan masuk ke kelas kuliah.
Biro Hak Asasi Manusia Kazakhstan akhirnya turun tangan, dan salah seorang penguatkuasa undang-undang biro tersebut, Aghyzbek Tolegenov melakukan perbincangan dengan rektor universiti, Khalel Khusainov pada minggu lalu.
Pada Khusainov, Tolegenov mengatakan bahawa undang-undang larangan bertudung yang dikuatkuasakan pihak universiti bertentangan dengan perlembagaan negara. Tolegenov juga mengingatkan Khusainov bahawa yang harus dilawan oleh rakyat Kazakhstan adalah ekstremisme dan bukan Islam.
Pada RFE / RL, Tolegenov menyatakan bahawa dia dan para pakar hak asasi manusia dari pelbagai organisasi bukan kerajaan telah membentuk sebuah "Gabungan Membela Hak Asasi dan Kebebasan". Gabungan itu sudah memulakan kempen untuk menarik balik larangan tudung di universiti-universiti.
Kerana mendapat tekanan dari banyak pihak, para pegawai universiti melakukan siri pertemuan dengan para pensyarah dan mahasiswa, dan akhirnya memutuskan untuk menarik balik larangan bertudung itu.
Timbalan rektor universiti, Bayan Orynbaeva pada awalnya enggan mengulas atas masalah larangan tudung di kampusnya. Tapi akhirnya dia mendedahkan bahawa yang menjadi masalah sebenarnya warga tudung dan busana muslim yang dikenakan para mahasiswi muslim.
"Mereka mengenakan pakaian serba hitam. Warna hitam bukan warna tradisi pakaian yang dikenakan masyarakat Kazakhstan pada umumnya," tegas Bayan.
Namun Shynar Mantaiqyzy - satu daripada lapan pelajar muslim yang mengeluh larangan tudung di kampus itu membantah bahawa mereka berpakaian serba hitam, termasuk jilbabnya.
"Tradisi orang Kazakh menyatakan 'jangan memakai pakaian hitam', sebuah tradisi yang tetap kami ikuti. Warna busana dan tudung yang kami kenakan selalu berganti-ganti, tidak semestinya hitam," tegas Shynar.
Mahasiswi lain juga membantah. "Apa yang kami kenakan bukan tudung, tapi tudung yang menjadi sebahagian busana tradisional kaum perempuan Kazakh," kata Perizat Moldasheva. -Disusun dari eramuslim.com
0 comments:
Post a Comment